Hari keenam kempen pilihan raya kecil (PRK) parlimen Port Dickson bermula dengan suasana penuh hiba.

Rata-rata calon yang bertanding dikejutkan dengan pemergian seorang pengundi berdaftarnya – anggota bomba yang maut dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong di Puchong, Selangor.

Dan rata-rata calon mengambil kesempatan hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Calon PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar merupakan individu ketiga menziarahi keluarga salah seorang anggota bomba itu dan berkesempatan menyertai solat jenazah bersama.

Mohd Nazari yang memakai kemeja putih hijau dilihat bersama-sama ahli keluarga allahyarham Adnan Othman yang meninggal dunia akibat lemas semalam.

Beliau dilihat berbual dengan ahli keluarga mangsa dan membacakan surah Yasin kepada allahyarham.

Turut kelihatan anggota parlimen Lembah Pantai daripada PKR Fahmi Fadzil.

Beliau ketika ditemui media berkata calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim difahamkan akan membuat lawatan secara peribadi ke kediaman keluarga mangsa di sebelah malam ini.

"Anwar sampai salam takziah dan akan ziarah secara peribadi selepas ini kerana beliau ingin menyampaikan penghormatan secara peribadi kepada keluarga allahyarham.

"Saya nasihatkan netizen agar tidak menularkan video saat-saat terakhir enam wira negara yang kecundang ini.

“Berikan sedikit ruang untuk keluarga yang masih bersedih," katanya kepada media di pekarangan Masjid Qariah Lukut di Port Dickson.

Terdahulu dua calon bebas di PRK Port Dickson iaitu Tan Sri Isa Samad dan Mohd Saiful Bukhari Azlan menziarahi keluarga Adnan.

Mereka yang hadir serentak di Taman Wawasan Jaya, tidak jauh dari lokasi kematian, awal pagi tadi bertemu ahli keluarga mangsa.

Cuaca yang sejak awal pagi hujan lebat mula reda sebaik sahaja jenazah tiba di Masjid Qariah Lukut Mukim Port Dickson untuk solat jenazah sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Perkuburan Islam Makam Raja Jumaat, Lukut.

Ratusan jemaah juga hadir untuk solat jenazah termasuk anak sulung Tan Sri Isa Samad.