Baru sudah jelaskan pada Anwar isu pegawai dituduh rasuah
Menteri Kerja Raya, Baru Bian, sudah memberi penjelasan kepada pemimpin tertinggi PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan ada pegawainya dituduh terbabit rasuah.
Kata Baru maklumat tersebut disampaikan beliau kepada Anwar melalui perbualan mereka di telefon.
“Dia (Anwar) sudah telefon saya, dia tanya saja dan saya katakan, kita (pihak Baru) buat satu kenyataan akhbar bahawa kami biarkan ia disiasat," katanya selepas merasmikan majlis penghargaan Man-Hours Without Lost Time Injury (LTI) di Cheras hari ini.
Majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan terhadap projek-projek lebuh raya dalam pembinaan di susur Bandar Mahkota Cheras dari Lebuh Raya Lembah Kelang Timur (EKVE).
Baru yang juga anggota parlimen Selangau berkata pihaknya akan membiarkan siasatan berkenaan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya sudah perjelaskan (pada Anwar) apa yang saya tahu dan kami akan biarkan begitu (untuk disiasat) buat masa ini," katanya.
Pada 25 Sept lalu Malaysiakini melaporkan Setiausaha Pengelola Pemuda PKR Ahmad Syukri Razab membuat laporan kepada SPRM berhubung seorang calon pemilihan parti itu didakwanya menyalahgunakan kuasanya sebagai setiausaha politik sebuah kementerian.
Syukri mendakwa individu itu yang bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ketua cabang, menawarkan kontrak kepada pimpinan tempatan di Pahang.
Antara tawaran yang dibuat kepada mereka, menurut Ahmad Syukri, ialah kontrak pembangunan dan baik pulih infrastruktur bernilai RM20,000.
Baru kemudian mengeluarkan kenyataan pihaknya mengalu-alukan siasatan dibuat oleh pihak berkuasa ke atas kementeriannya.
Anwar juga mengesahkan akan bertemu Baru bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan Ahmad Syukri itu.
Ditanya media mengenai butiran lanjut mengenai tarikh pertemuan dengan Anwar hari ini, Baru bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Sebaliknya beliau terus meninggalkan pihak media.

