Peguam Rosmah pertikai tuduhan ganggu saksi
Peguam bela Rosmah Mansor mempertikaikan tuduhan pihak pendakwaan kepada isteri bekas perdana menteri kononnya beliau cuba mengganggu pihak yang berpotensi menjadi saksi.
Tuduhan ini dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini semasa berdebat tentang jumlah ikat jamin terhadap Rosmah.
Sri Ram menggunakan alasan itu bagi menaikkan jumlah ikat jamin yang ditentang peguam Rosmah, K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.
Geethan mengatakan adalah tidak wajar bagi pihak pendakwaan melakukan tuduhan itu, malah mereka turut membuat satu laporan polis bagi menyokongnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di hadapan bangunan mahkamah.
"Laporan polis tentang isu mengganggu saksi ini baru saja dibuat Jumaat lepas. dan Rosmah belum diberikan peluang untuk memberikan kenyataan.
"Penyiasatan belum pun dijalankan. Lagipun, laporan polis itu bukan dibuat oleh pihak saksi, tetapi oleh SPRM sendiri," katanya.
Rosmah mennghadapi 17 tuduhan pengubahan wang haram tetapi minta dibicarakan untuk semua pertuduhan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pula berkata beliau mendapati jumlah ikat jamin RM10 juta yang dicadangkan oleh pihak pendakwa terlalu tinggi, tetapi pada masa sama berpendapat cadangan RM100,000 yang dicadangkan pihak pembela terlalu rendah pula.
Beliau akhirnya menetapkan ikat jamin sebanyak RM2 juta terhadap Rosmah dengan dua penjamin. RM500,000 mesti dibayar hari ini manakala bakinya perlu dijelaskan pada 11 Oktober.
Rosmah juga perlu menyerahkan pasportnya dan tidak dibenarkan menghubungi mana-mana saksi atau pihak yang berpotensi untuk menjadi saksi.
Sementara itu, Kamaraendran berkata biarpun heboh diperkatakan yang Rosmah akan berdepan tuduhan berkaitan 1MDB, tidak ada satu pun tuduhan terhadapnya yang menyebut tentang 1MDB.
Bagaimanapun, Geethan berpendapat hal itu terpulang kepada pihak pendakwa, manakala pasukannya akan tetap berdepan dengan kes itu seadanya.

