'Tom Hanks' dari Syria akan dihantar pulang
Lelaki Syria yang terkandas di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak Mac lalu menolak tawaran daripada negara-negara lain termasuk kerajaan Malaysia kerana menetap melebihi tempoh dibenarkan di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengusir Hassan Al Contar ke tanah airnya di Syria tidak lama lagi.
"Inilah masalahnya, dia tinggal sini melebihi had, dia adalah PATI (Pendatang Tanpa Izin). Ada beberapa negara nak terima dia, tapi dia tak mahu. Dia nak juga (berlindung di) Kanada," kata Aziz.
Beliau berkata kedutaan Syria telah cuba meyakinkan lelaki itu untuk kembali ke negara asalnya tetapi dia enggan berbuat demikian.
"Dia pun tak nak tinggal di Malaysia. Takkan kita nak bagi dia tinggal di airport? Itu tak masuk akal. Negara-negara lain dia tak mahu terima. Dia cuma mahu Kanada, tetapi Kanada, saya diberitahu hanya terima dia selepas dua tahun," katanya.
Mohd Azis berkata terdapat beberapa anggota Parlimen yang merayu kepadanya untuk membenarkan lelaki itu tinggal selama beberapa bulan di negara ini tetapi Hassan masih berkeras untuk tinggal di Kanada.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Hassan ditahan polis pada Isnin kerana berada di zon laranga lapangan terbang itu dan dia akan diserahkan kepada pihak Imigresen apabila siasatan polis selesai.
Mustafar berkata Hassan mendakwa dia enggan pulang ke Syria kerana bimbang menjadi mangsa pihak tentera.
Hassan sebelum ini berkongsi kisah hidupnya di media sosial dan menarik perhatian banyak pihak yang menyamakannya dengan watak Tom Hanks dalam filem The Terminal.

