Doktor kerajaan dibenar untuk mengambil cuti tanpa rekod sekiranya ingin ke Sulawesi Tengah bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di situ, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kita memberikan izin kepada semua doktor kerajaan sama ada yang berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pendidikan (doktor di hospital universiti) untuk mengambil cuti tanpa rekod bagi berkhidmat dan berbakti di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kementerian Kesihatan dan Collaborative Research In Engineering, Science and Tenchnology (CREST), di Kuala Lumpur hari ini.

Dzulkefly bagaimanapun tidak menyatakan jumlah doktor kerajaan yang telah berlepas ke sana setakat ini.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia semalam, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,407 orang.

Gempa bumi sekuat 7.4 magnitud itu menggegarkan Palu dan Donggala sebelum mengakibatkan tsunami pada Jumaat lepas.

Ia kemudian disusuli lebih 250 gempa susulan setakat ini.

Sementara itu, mengulas kes keracunan alkohol, Dzulkefly berkata setakat hari ini kementerian menerima 98 notifikasi dengan pertambahan satu kes kematian di Selangor.

Katanya pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes mangsa yang meninggal dunia adalah 46 orang.

Mengenai perjanjian dimeterai hari ini Dzulkefly berkata ia akan menyaksikan kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan dalam pelbagai bidang.

Antaranya penjagaan kesihatan digital yang memberi tumpuan kepada inovasi digital dalam penyampaian dan penyelesaian penjagaan kesihatan, aktiviti pembangunan kelompok bersama, penglibatan rangkaian industri, pembangunan bakat dan hub inovasi kesihatan digital.

Ia ditandatangani Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mewakili kerajaan, manakala CREST diwakili ketua pegawai eksekutifnya Jaffri Ibrahim.

- Bernama