Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bajet 2019 penentu ekonomi M'sia - Bank Dunia

Bajet 2019 akan menentukan persekitaran ekonomi Malaysia selepas tahun fiskal akan datang, kata Kumpulan Bank Dunia.

Ketua Pakar Ekonomi dalam Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan, Richard Record berkata belanjawan itu, yang akan dibentangkan pada 2 November ini, dijangka menggariskan dasar fiskal dan hala tuju kerajaan, serta langkah untuk mengimbangi dua cabaran pengukuhan fiskal, iaitu pertumbuhan dan hutang.

"Ia akan menjadi peluang penting untuk memberi petunjuk kepada pelabur dan sektor swasta mengenai pembaharuan dan peluang pertumbuhan yang dimiliki Malaysia,” katanya kepada pemberita semasa taklimat mengenai Perkembangan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut laporan Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan menyederhana kepada 4.9 peratus, 4.5 peratus dan 4.6 peratus masing-masing bagi 2018, 2019 dan 2020, daripada 5.9 peratus pada tahun lepas.

Ia berkata, unjuran itu adalah berasaskan prospek eksport dan perdagangan yang lebih rendah, serta penggunaan dan pelaburan awam berkurangan disebabkan pembatalan beberapa projek infrastruktur mega.

Bank Dunia berkata, penggunaan swasta akan kekal kukuh tahun ini, manakala sektor luaran akan terus memperoleh manfaat daripada pemulihan aktiviti pelaburan dan pembuatan global, walaupun kitaran ini mulai matang.

Pencapaian sasaran defisit fiskal 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar akan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus, menurut insitusi kewangan antarabangsa itu.

"Jika sebaliknya, kerajaan ini mungkin memilih untuk menetapkan defisit fiskal yang lebih tinggi," kata Bank Dunia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS