Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH: HARAPAN guna 'taktik seperti BN' di PRK Balakong, Seri Setia

Bersih mendakwa Pakatan Harapan (HARAPAN) menggunakan "taktik yang sangat serupa" dengan BN di PRK Seri Setia dan Balakong sebelum ini.

Pengarah Eksekutif BERSIH Yap Swee Seng berkata ia berdasarkan hasil pemerhatian NGO itu di kedua-dua PRK tersebut.

"Berdasarkan dapatan kami dan kesalahan (pilihan raya) yang dilakukan - menyediakan makanan dan memberikan barangan, dan juga penggunaan kereta rasmi untuk menghadiri program kempen - ini semua taktik yang sangat serupa dengan yang pernah dilakukan BN pada masa lalu.

"Nampaknya taktik sama digunakan oleh HARAPAN. Jadi dari sudut pandang BERSIH, kami bimbang budaya seumpama ini telah diamalkan oleh HARAPAN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut laporan BERSIH berkenaan PRK Balakong, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk ke program kempen HARAPAN.

Pada 4 September lalu, iaitu hari mengundi awal, calon HARAPAN Wong Siew Ki dan beberapa penyokongnya dikatakan membawa logo parti ke pusat mengundi.

Sebuah kenderaan yang mempamerkan logo HARAPAN juga didakwa dilihat kurang 50 meter dari pusat itu.

MCA juga didakwa melakukan beberapa kesalahan pilihan raya ketika kempen: menganjurkan jamuan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengundi.

Pemberian barangan di Seri Setia

Laporan BERSIH berkenaan PRK Seri Setia pula mendakwa bagaimana HARAPAN memberikan baju T serta makanan dan minuman percuma kepada pengundi.

Selain itu, bendera PKR dan HARAPAN juga dilihat kurang 50 meter dari pusat mengundi.

PAS juga didakwa melakukan kesalahan sama - dan lebih kerap berbanding HARAPAN - ketika kempen di Seri Setia.

Laporan itu mendakwa PAS menawarkan makanan dan minuman kepada pengundi selain memberikan hamper.

Calon HARAPAN Halimey Abu Bakar dan calon PAS Dr Halimah Ali kedua-duanya didakwa berkempen di Facebook pada hari mengund iaitu 8 September lalu.Jangan ulang di Port Dickson.

Jangan ulang di PD

Yap menggesa HARAPAN tidak lagi mengulanginya dalam kempen PRK Port Dickson yang sedang berlangsung.

"Ini semua tidak harus berulang kerana ia amalan korupsi yang dikecam pada masa lalu, termasuk oleh HARAPAN.

"HARAPAN tidak sepatutnya mengulangi amalan korupsi seperti ini, terutama di Port Dickson kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding. Mereka perlu menunjukkan contoh yang baik di sana," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS