Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga bomba terkorban akan dapat zakat S'ngor - MB
Diterbitkan:  Oct 4, 2018 10:54 PM
Dikemaskini: 2:55 PM

Kerajaan Selangor akan mengusahakan sumbangan zakat kepada enam keluarga dan waris penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong semalam.

Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari berkata sumbangan zakat berkenaan akan diusahakan melalui kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor.

“Dalam masa terdekat, saya akan menjemput keluarga mangsa yang terbabit hadir ke pejabat untuk memberi sumbangan zakat kepada mereka sebagai tanda penghargaan dan untuk mengurangkan kesedihan terhadap musibah yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertemuan bersama kepimpinan PKR Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini Amirudin mengumumkan kerajaan Selangor juga bersetuju untuk memberi sumbangan berjumlah RM20,000 kepada setiap keluarga dan waris, anggota bomba yang maut tersebut.

Beliau berkata sumbangan itu dibuat bagi menghargai jasa sepanjang penugasan mereka selain untuk meringankan beban keluarga dan waris masing-masing.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam semalam, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja lima minit berada dalam air, bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang semalam.

Bagaimanapun secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain menyebabkan semua mangsa lemas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS