Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar ilhamkan tuisyen percuma dalam talian
Diterbitkan:  Oct 4, 2018 11:27 PM
Dikemaskini: 3:31 PM

PRK PD |  Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap program tuisyen percuma secara dalam talian yang diilhamkannya dapat dikembangkan ke seluruh negara pada masa akan datang.

Katanya, pada masa ini program itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang ditawarnya dalam kempen PRK itu, hanya ditawarkan bagi murid-murid darjah 1 hingga tingkatan 5 di sekolah-sekolah dalam daerah Port Dickson sahaja.

"Program ini kalau tidak dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ibu bapa dan guru akan rugi besar tetapi saya tidak dapat melakukan apa-apa sebab saya bukan menteri tetapi saya menyeru ibu bapa untuk memberi dorongan kepada anak-anak untuk terus belajar.

"Jika saya mendapat mandat nanti sebagai anggota parlimen kawasan ini, saya akan meminta Pejabat Pendidikan Daerah untuk menilai keberkesanan program ini dalam November nanti dan mengkaji kaedah untuk menambah baik," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran program itu di Port Dickson hari ini.

Anwar berkata tuisyen percuma dalam talian yang boleh diakses menerusi 'pdtuition.com', menawarkan pembelajaran semua subjek yang diajar di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Kerjasama swasta, NGO

Anwar yang menang Presiden PKR tanpa bertanding bagaimana pun berkata keberkesanan program itu yang diusahakan dengan kerjasama syarikat swasta dan individu dari badan bukan kerajaan, banyak bergantung kepada guru-guru dan kesedaran ibu bapa.

Anwar akan bertanding dalam saingan tujuh penjuru dalam PRK Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

Kerusi parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 September lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

- Bernama

Lihat Komen
ADS