Khutbah: Maksiat bukan urusan peribadi semata-mata
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan umat Islam agar menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat yang boleh mengundang bala dan tidak menganggapnya sebagai urusan peribadi semata-mata.
“Kita hendaklah sedar bahawa derhaka kepada Allah bukan hanya dengan cara menyembah patung dan berhala, tetapi juga termasuklah tidak yakin kepada hukum dan janji Allah mengenai hari kiamat dan dosa pahala,” menurut teks khutbah Jumaat.
Selain itu, umat Islam turut diingatkan bahawa tiada musibah yang ditimpakan melainkan kerana kezaliman manusia itu sendiri.
“Kezaliman yang dimaksudkan ialah syirik kepada Allah dan segala bentuk maksiat serta dosa yang dilakukan oleh manusia termasuklah meninggalkan solat, zina, LGBT, minum arak, berjudi, mendedahkan aurat, memakan riba, dan sebagainya.
“Amat menyedihkan apabila sebahagian masyarakat kita sanggup mempertahankan segala gejala ini serta menganggapnya sebagai maksiat dan dosa yang bersifat hak peribadi lalu tidak boleh diambil tindakan undang-undang ke atas pelakunya,” kata mimbar lagi.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui pula memberi peringatan bahawa segala bencana, malapetaka, kesusahan dan kepayahan ialah ujian bagi melatih kesabaran serta memperteguhkan keimanan dalam melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah.
“Setiap ujian menjadi medan tautan kasih sayang kepada saudara-saudara seagama yang ditimpa penderitaan sehingga mendorong kita membantu mereka atau sekurang-kurangnya mendoakan kesejahteraan mereka,” kata mimbar.
Menyentuh bencana gempa bumi terbaru di Palu dan Donggala di Sulawesi, Indonesia pada 28 September lalu yang telah mengorbankan 1,234 nyawa dan menyebabkan 30,000 kehilangan tempat tinggal, mimbar menyeru umat Islam untuk turut sama menghulurkan bantuan.
“Islam sebagai agama rahmatan lil 'alamin amat mengambil berat tentang kebajikan seluruh umat manusia tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan, agama dan bangsa.
“Dengan itu, mimbar memaklumkan bahawa Jakim telah melancarkan Tabung Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi menerusi masjid-masjid dan surau di bawah pentadbiran Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai inisiatif membantu mangsa dan keluarga.
“Justeru mimbar menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang dan mendoakan agar Allah mengembalikan kepada para penduduk Sulawesi, Indonesia,” kata mimbar lagi.

