Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin orang Melayu akan kembali menyokong Umno.
Ismail mendakwa, dasar-dasar Pakatan Harapan telah menekan orang Melayu, termasuk dalam isu hak keistimewaan kaum itu yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 153 itu adalah hak kita.
"Itu adalah perkara asas yang telah dipersetujui oleh pemimpin semua kaum di negara ini ketika Malaysia mahu merdeka, dengan syarat tidak menekan kaum lain.
“Jika kaum lain mendakwa mereka itu second class citizen (rakyat kelas kedua), takkanlah ekonomi negara dikuasai oleh golongan mereka.
“Mana ada dalam dunia, second class citizen menguasai ekonomi dan sebagainya.
"Sekarang ini, mereka sudah mahu menguasai politik pula,'' jelas beliau seperti dilaporkan Umno Online.
Menurutnya, orang Melayu hanya mempertahankan hak sendiri dan tidak merampas hak orang lain.
“Kita tidak boleh dianggap rasis kerana kita hanya mempertahankan hak kita dan mempergunakan hak kita itu tanpa menzalimi kaum-kaum lain, '' beliau dilapor berucap demikian dalam satu acara semalam.
