Kedudukan Akta Hasutan 1948 yang belum dimansuhkan bukan alasan untuk kerajaan terus melakukan penahanan atau siasatan menggunakan undang-undang tersebut, kata Syahredzan Johan.

Setiausaha politik kepada Lim Kit Siang itu menjelaskan dalam keadaan sekarang pihak berkuasa sebaliknya perlu membebaskan diri daripada bertindak sama seperti kerajaan BN.

Malah kata Syahredzan jika benar ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pihak berkuasa berhubung siasatan mereka, ia perlu disemak semula dengan segera.

"SOP tidak boleh dijadikan alasan untuk terus menyekat kebebasan asasi rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Syahredzan yang juga seorang peguam mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman semalam yang berkata pemansuhan Akta Hasutan belum dimuktamadkan kerana perlu melalui proses di parlimen.

Bagaimanapun kata Mohd Aziz kerajaan tetap komited untuk memansuhkan akta berkenaan sesuai dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Kerajaan HARAPAN komited dan akan melaksanakannya dalam masa terdekat, namun setiap keputusan perlu melalui proses dan prosedur pentadbiran kerajaan," katanya.

Kritikan terhadap kerajaan itu muncul selepas adik Datuk Lokman Noor Adam ditahan dan disiasat mengikut Akta Hasutan kerana didakwa mencaci Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Syahredzan Akta Hasutan mudah disalahgunakan untuk tujuan politik dan mewujudkan chilling effect (kesan menggerunkan) di kalangan rakyat, selain menyekat kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan negara.

"Memang jelas undang-undang seperti Akta Hasutan ini tidak mempunyai tempat di dalam Malaysia baru yang menjanjikan ruang demokratik yang luas dan bebas," katanya.

Justeru kata Syahredzan kerajaan digesa melaksanakan moratorium (penggantungan) ke atas pelaksanaan dan penggunaan Akta Hasutan serta akta lain yang seumpama dengannya.

"Moratorium itu haruslah merangkumi aspek seperti penyiasatan, penahanan dan pendakwaan di bawah akta tersebut," katanya.