Pemilihan PKR 2018 di cabang Setiu hari ini mencatat peristiwa sedih apabila calon naib ketuanya Donia Hasan, 55, meninggal dunia awal pagi ini.
Ketua Koordinator Negeri Terengganu bagi pemilihan itu Amri Awang berkata Donia meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu ekoran terkena serangan angin ahmar Selasa lepas.
“Arwah meninggal kira-kira pukul 2.30 pagi ini. Jenazah Allahyarham kini berada di Setiu untuk urusan pengkebumian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Donia sepatutnya mempertahankan jawatan itu dengan dicabar Shahrim Dzulkifli.
Sementara itu, calon Ketua Cabang Setiu Wan Mokhtar Wan Ibrahim berkata Donia pada awalnya rebah di tangga ketika ingin turun bersalaman dengan rakan-rakan semasa menghadiri mesyuarat pemilihan di Kampung Bahagia, di Setiu pukul 11 malam Selasa.
Wan Mokhtar yang ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Dewan Majlis Daerah Setiu (MDS) Sungai Tarom berkata kebanyakan calon yang datang mengundi pada hari ini belum mengetahui tentang kematian Donia dan berkemungkinan ada antara mereka akan mengundi Allahyarham.
‘Pada awalnya arwah mendapatkan rawatan di Hospital Setiu tetapi ekoran keadaannya yang kritikal, beliau dipindahkan ke HSNZ,” katanya.
- Bernama
