PRK PD | Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini ‘terserempak’ apabila kedua-dua mereka menunaikan solat Jumaat di masjid yang sama.

Mohd Saiful Bukhari tiba di Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson pada jam 12.50 tengah hari manakala Anwar kira-kira jam 1.05 tengah hari.

Kedua-dua calon itu dilihat beramah mersa bersama jemaah masjid yang majoritinya adalah anggota tentera sebelum duduk berasingan bagi mendengar kutbah Jumaat bertajuk "Perjuangan Menegakkan Akidah" yang disampaikan oleh khatib, Mejar Anuar Mohd Ehwal.

Solat Jumaat itu yang disertai kira-kira 800 jemaah turut disertai Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga pengerusi Pakatan Harapan negeri itu, Aminuddin Harun serta Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Ibrahim Ali.

Mohd Saiful Bukhari yang juga bekas pembantu peribadi Anwar merupakan antara tujuh calon yang bertanding pada PRK Port Dickson.

Selain Anwar dan Saiful Bukhari, PRK itu turut disertai calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan empat calon bebas lain termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas solat berkata kehadirannya ke Port Dickson hanyalah sebagai pemerhati, dan menafikan akan berkempen untuk Anwar.

“Sebagai pemerhati politik berpengalaman, saya berpendapat Anwar akan menang mudah… orang Port Dickson tahu dia (Anwar) bakal perdana mentari yang kelapan, tolak Anwar ibarat menolak rezeki.

“Saya banyak kali bertanding sebagai calon bebas dan saya tak pernah menang… di sini pun saya percaya perkara sama akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, kehadiran bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu mengejutkan Anwar ketika beliau sedang berjalan keluar daripada dewan solat.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept lepas bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina 33 peratus, India 22 peratus dan kaum-kaum lain 2 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Okt ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan (9 Okt) sebagai hari pengundian awal.

- Bernama