Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkuatkuasa 1 November, 2018.
Syed Zaid Albar mengantikan Tan Sri Ranjit Ajit Singh yang akan bersara daripada jawatan itu pada 31 Oktober ini.
"Ini telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad," jelas Lim.
Terdahulu, pada 30 September lepas Pejabat Perdana Menteri telah mengumumkan perlantikan Syed Zaid Albar berkuatkuasa pada 15 Oktober ini.
Menurut Lim, Syed Zaid Albar mempunyai 38 tahun pengalaman luas berkaitan rangka pengawalseliaan berkaitan undang-undang sekuriti serta pasaran modal.
"Beliau berkelulusan Ijazah Undang- undang dari University of Westminster di United Kingdom dan kemudiannya menjadi pengamal perundangan sebagai Barrister-at-Law di Lincoln’s Inn, London pada 1979.
"Beliau telah diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1980. Beliau juga telah berkhidmat di firma guaman Skrine & Co serta firma guamannya sendiri iaitu Albar & Partners," tambah Lim.
Dalam pada itu, Lim juga turut berterima kasih kepada Ranjit atas sumbangan beliau kepada pasaran modal tempatan selama 25 tahun perkhidmatannya di SC.
Ranjit, kata Lim telah berjaya mengekalkan kestabilan pasaran dengan menekan tadbir urus korporat semasa memimpin SC meskipun berdepan cabaran-cabaran berkaitan dengan tadbir urus sektor awam disebabkan skandal 1MDB.
