Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyampaikan sumbangan RM1,000 untuk setiap keluarga enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Taman Putra Perdana, Puchong pada Rabu malam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang mewakili kerajaan negeri menyampaikan sumbangan sebanyak RM6,000 kepada Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang Muhammad Tarmizi Md Jaafar.

Jagdeep berkata wang tersebut adalah sebagai penghormatan kepada anggota bomba yang lemas dalam kejadian berkenaan.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan takziah dan rasa simpati terhadap semua keluarga mangsa terlibat, kejadian tersebut adalah satu tragedi yang tidak akan dilupakan rakyat Malaysia kerana mereka semua sedang bertugas untuk menyelamatkan orang.

"Saya berharap keluarga mangsa tabah menghadapinya dan saya juga percaya pengorbanan mereka yang kehilangan nyawa sewaktu menjalankan tugas itu amat dirasai oleh semua (rakyat Malaysia)," katanya.

Enam penyelam PPDA JBPM lemas ketika melakukan operasi SAR seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam Rabu.

Sementara itu, JBPM Kedah melancarkan kutipan derma di semua balai bomba penyelamat negeri ini bagi membantu waris enam anggota yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa berusia 17 tahun yang lemas di sebuah lombong di Puchong, Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba I, Nazri Zakaria berkata kutipan telah dilakukan di semua balai bomba sebelum ia dikumpul dan diserahkan kepada waris terbabit dalam tempoh terdekat.

"Sumbangan wang itu akan dikumpul sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa nanti.

"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar turut melakukan majlis bacaan Yasin semalam untuk kesemua arwah terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nazri berkata setakat ini Pengasas DDR Bio Grow Datuk Dr Che Rozmey Che Din telah menyumbangkan wang tunai sebanyak RM1,000.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dr Che Rozmey atas kesudiannya menyampaikan sumbangan itu kepada anggota bomba yang terkorban dalam kejadian tersebut,” kata Nazri.

Anggota yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

- Bernama