AS tuduh 7 rakyat Rusia godam komputer, sebar maklumat salah
GLOBAL Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada Khamis telah mengumumkan pertuduhan jenayah terhadap tujuh rakyat Rusia, yang didakwa menggodam dan menyebarkan maklumat salah, lapor agensi berita China Xinhua.
Kesemua defendan, dipercayai para pegawai Direktorat Perisikan Utama Rusia, didakwa telah melakukan kesalahan menggodam komputer, penipuan kawat, kecurian identiti yang teruk dan pengubahan wang haram, menurut satu kenyataan.
Kenyataan itu turut mendakwa defendan membalas dendam terhadap pegawai anti-doping antarabangsa yang telah mendedahkan skandal doping Rusia, dan menyebut bahawa mereka melakukannya dengan menyebarkan maklumat yang dicuri berkaitan pegawai terbabit.
Terdapat kemungkinan kecil bahawa AS akan menahan mereka.
Pada Julai 2016, Agensi Anti-Doping Dunia dalam laporannya menyebut bahawa Rusia telah menaja untuk mensubversikan proses ujian dadah itu sebelum, semasa dan selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014.
Akibatnya, sejumlah 111 atlet Rusia telah dilarang menyertai Sukan Olimpik Musim Panas 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
- Bernama

