Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) menerima teguran dibuat pemantau pilihan raya BERSIH berkenaan kesalahan dilakukan gabungan itu dalam dua pilihan raya kecil (PRK) lalu.

"Secara jujur saya boleh katakan bahawa mungkin kita telah berusaha sedaya upaya mengurangkan ketidakseimbangan ataupun penggunaan aset kerajaan (dalam PRK di Seri Setia dan Balakong).

"Namun begitu kita akan ambil baik teguran BERSIH dan meneliti kembali supaya tak berlaku aspek-aspek yang tak wajar seperti itu," katanya kepada pihak media di Shah Alam hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan BERSIH bahawa HARAPAN menggunakan "taktik yang sangat serupa" dengan BN dalam PRK di Seri Setia dan Balakong sebelum ini.

Antara kesalahan tersebut adalah menyediakan makanan dan memberikan barangan kepada pengundi serta penggunaan kereta rasmi untuk menghadiri program kempen.

Dalam laporannya, BERSIH juga mendapati MCA dan PAS turut melakukan kesalahan dalam dua PRK itu.

Calon HARAPAN Wong Siew Ki dan Halimey Abu Bakar masing-masing memenangi kerusi Balakong dan Seri Setia dengan undi yang selesa.

Puas hati pemilihan PKR

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin, yang merupakan anggota majlis tertinggi PKR, berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan pemilihan parti yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

"Saya fikir selepas beberapa sesi (pengundian), terutamanya sesi terakhir di Johor, hasilnya sangat baik dan mereka (JPP) membetulkan banyak perkara.

"Kami (perlu) bersedia untuk sesi berikutnya di Selangor dan Sabah, di kedua-dua negeri kita menjangkakan jumlah yang lebih besar (turun mengundi) bagi setiap bahagian. JPP perlu bersedia untuk itu," katanya.

Pemilihan PKR sebelum ini dicemari kekecohan disebabkan isu teknikal, menyebabkan pemilihan di empat negeri ditangguhkan.

Pemilihan di Johor Ahad lepas yang menyaksikan Datuk Seri Azmin Ali mendahului pencabarnya Rafizi Ramli dalam jawatan timbalan presiden PKR, turut dipertikaikan.

Ahli PKR Kelantan dan Terengganu mengundi hari ini, manakala pemilihan di Sabah akan diadakan pada 14 Okt dan 28 Okt.

PKR Sabah pula akan menjalankan pemilihan pada 3 dan 4 Nov.

Terdahulu, Amirudin menghadiri majlis ramah mesra bersama pihak media bagi menyatakan penghargaan terhadap mereka sempena 100 hari pentadbiran HARAPAN.