Orang mati syahid tetap dibebani hutang, kata pensyarah
Walaupun seseorang Islam itu mati syahid tetapi dirinya tetap dibebani tanggungjawab melangsaikan hutangnya, kata pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran dan hadis Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi.
"Sekalipun kita dikurniakan syahid, hutang tetap mesti diselesaikan.
"Keluarga syahid seharusnya bertanya atau memohon kepada mereka yang mengenali syahid supaya memaklumkan sekiranya si syahid ada mempunyai hutang," katanya dalam suatu tulisan terbit di Ismaweb hari ini.
Beliau memetik sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar, yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda:
“Allah mengampunkan semua dosa bagi mereka yang syahid kecuali hutang.”
Ahmad Sanusi mengulas kenyataan Mufti Wilayah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad semalam yang berkata gelaran syuhada (mati syahid) layak diberikan kepada enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meninggal dunia ketika menjalankan operasi menyelamat.
Zulkifli berkata mereka bukan sekadar meninggal dunia kerana lemas, malah terbunuh semasa menolong orang lain.
"Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir.
"Inilah syuhada kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada," katanya melalui hantaran di media sosial.
Dalam kejadian pada Rabu lalu di Taman Putra Perdana, Puchong, enam anggota PPDA iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 terkorban ketika operasi mengesan seorang remaja yang hilang di lombong tinggal itu.

