RANGKUMAN PRK PD | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan hari ini beliau akan menyertai kempen gabungan itu pada 8 Oktober ini, sesuatu yang jarang-jarang dilakukan beliau ketika menjadi Perdana Menteri.

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah khabar angin berkaitan hubungannya dengan calon HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disebut-sebut bakal penggantinya sebagai perdana menteri.

Kali terakhir Mahathir berkempen dalam PRK pada 2009 di Bukit Gantang.

Anwar menyambut baik pengumuman tersebut berkata,"ini satu petanda baik untuk Port Dickson."

“Maknanya, bukan sahaja saya yang bagi jaminan untuk bantu Port Dickson, tetapi perdana menteri yang ada sekarang pun hadir untuk bersama-sama,” kata Anwar yang menang Presiden PKR tanpa bertanding.

BERSIH nasihat menteri berhenti beri Anwar kelebihan

Terdahulu, gabungan reformasi pilihanraya, BERSIH menasihatkan para menteri daripada berkempen sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk calon PKR itu supaya memastikan persaingan yang adil kepada calon-calon lain.

Dalam hal berasingan, Anwar dan calon bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini ‘terserempak’ apabila kedua-dua mereka menunaikan solat Jumaat di Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Port Dickson.

Kedua-dua calon itu dilihat beramah mersa bersama jemaah masjid yang majoritinya adalah anggota tentera sebelum duduk berasingan bagi mendengar khutbah Jumaat.

Saiful, yang kini berumur 33 tahun pernah bekerja di pejabat Anwar sehingga terlibat dengan kes liwat 2 pada 2008 yang menyebabkan pemimpin PKR itu dihukum penjara pada Januari 2015.

Bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan pusat pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, Anwar pada 16 Mei lalu dibebaskan melalui pengampunan diraja.