Tarikh akhir untuk memuktamadkan rundingan awal bagi penjualan aset komersial bernilai berbilion ringgit di Fasa 2 Battersea Power Station di London kepada Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dilanjutkan untuk kali ketiga kepada akhir tahun ini.

PNB, KWSP dan vendor -- Battersea Phase 2 Holding Company Limited (Battersea Phase 2 Holdco) –telah mencapai persetujuan untuk melanjutkan tempoh eksklusif berkaitan urus niaga itu kepada 31 Dis, 2018, daripada 30 Sept, menurut Sime Darby Property Bhd dan SP Setia Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Battersea Phase 2 Holdco dimiliki sepenuhnya oleh Battersea Project Holding Company Limited, yang dimiliki oleh Sime Darby Property Bhd (40 peratus), SP Setia Bhd (40 peratus) dan KWSP (20 peratus).

Sime Darby Property dan SP Setia berkata pihak-pihak berkenaan telah mencapai “kemajuan yang ketara” ke arah memuktamadkan urus niaga itu dan dijangka memeterai urus niaga yang dicadangkan itu pada suku keempat tahun ini.

Pada 18 Jan, 2018, PNB dan KWSP menandatangani perjanjian dasar induk dengan Battersea Phase 2 Holdco untuk memulakan rundingan awal bagi membeli aset komersial dengan anggaran £1.61 bilion (RM8.7 billion).

Harga belian tertakluk kepada usaha yang wajar dan berdasarkan pembangunan yang telah selesai dan disewa sepenuhnya.

Kedua-dua pemaju itu berkata pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat berhubung status perjanjian dasar induk, cadangan urus niaga dan/atau pelaksanaan dokumen urus niaga.

PNB dan KWSP melihat cadangan pembelian itu sebagai peluang strategik untuk meraih pemilikan aset hartanah yang unik dan ikonik, yang akan dapat memberikan aliran pendapatan yang mampan pada masa depan untuk memenuhi keperluan pendapatan masing-masing.

Sementara itu, Sime Darby Property dan SP Setia berkata cadangan urus niaga itu akan memberi kepastian mengenai pulangan pelaburan kepada kedua-dua syarikat itu selain membolehkan mereka menumpukan kepada mendapatkan keuntungan pembangunan dan pulangan pelaburan daripada baki pembangunan di Fasa 3 hingga 7 projek di London.

- Bernama