Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR di Kedah, Perlis dan Perak yang ditangguh, dijadual semula
Diterbitkan:  Oct 6, 2018 2:56 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Pemilihan PKR di Perlis, Kedah dan Perak yang ditangguh sebelum ini dijadualkan semula pada 21, 26 dan 27 Okt ini.

Menurut laman sesawang https://www.pemilihankeadilan2018.com, tarikh pemilihan bagi tiga negeri tersebut telah dikemas kini pada tarikh tersebut iaitu Perlis (21 Okt), Kedah (26 dan 27 Okt) dan Perak (27 Okt).

Pada 22 Sept lepas pemilihan di sembilan cabang di Kedah terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain ekoran beberapa isu terutamanya masalah teknikal dan kelemahan petugas pusat mengundi manakala proses di enam cabang lagi berjalan lancar.

Bagaimanapun, mesyuarat Biro Politik pada 26 Sept lepas kemudian membuat keputusan pemilihan di enam cabang di Kedah itu dibatalkan dan perlu diadakan semula.

Selain itu terdapat kekecohan semasa proses pemilihan di cabang Merbok di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang melaksanakan pemilihan pada 22 Sept, manakala pemilihan di Perak dan Perlis yang dijadualkan pada keesokannya (23 Sept) juga terpaksa ditangguh.

Mesyuarat Biro Politik pada 26 Sept tersebut juga telah membuat keputusan sistem e-undi akan diteruskan bagi proses pemilihan PKR dengan penambahbaikan sistem berkenaan.

Bagi pertandingan jawatan timbalan presiden, Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli mendahului penyandangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan yang berlangsung di Kelantan dan Terengganu semalam.

Di Terengganu, Mohd Rafizi memperoleh 1,506 undi manakala Mohamed Azmin meraih 1,269 undi. Di Kelantan, Mohd Rafizi mendapat 289 undi selepas memperoleh 5,211 undi berbanding Mohamed Azmin yang menerima 4,922 undi.

Sebelum ini, Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mendahului pemilihan di Pulau Pinang dan Johor.

Keputusan-keputuan tersebut juga dipaparkan dalam laman web pemilihan yang dikemas kini pukul 10.08 pagi tadi yang turut menyatakan keputusan muktamad hanya akan dipapar selepas peti undi ragu diproses.

Turut dipapar keputusan undian peringkat cabang, Ketua AMK Pusat, Ketua Wanita Pusat serta ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengikut negeri-negeri yang telah selesai mengadakan proses pemilihan iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Esok pemilihan PKR akan diteruskan di Wilayah Persekutuan melibatkan 13 cabang termasuk Labuan dan Putrajaya.

Pemilihan bagi negeri-negeri lain ialah pada 14, 21 Okt dan 28 Okt (Selangor), 20 Okt (Melaka dan Negeri Sembilan), 3 dan 4 Nov (Sabah) dan 10 Nov (Sarawak).

Hari ini, seramai 20,000 anggota PKR Pahang disahkan layak mengundi bagi memilih kepimpinan peringkat pusat dan cabang dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ketua Koordinator negeri R.Nadarajan berkata pemilihan melibatkan 14 cabang iaitu Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar, Pekan, Rompin, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Bera, Bentong, Kuala Krau, Maran dan Cameron Highlands.

Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Cameron Highlands dan Kuala Krau menyaksikan calon ketua cabang menang tanpa bertanding.

Pusat-pusat undi mula dibuka pukul 10 pagi tadi dan keputusan dijangka dapat dikeluarkan secara rasmi dalam tempoh selewat-lewatnya dua jam selepas tamat tempoh mengundi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS