Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul MP isytihar harta bakal dibentang di Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Oct 6, 2018 8:55 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Usul yang mewajibkan semua anggota parlimen untuk mengisytiharkan harta seperti dilakukan oleh jemaah menteri akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober ini.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Saifuddin Abdullah berkata cadangan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Rabu lepas dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan diberikan tanggungjawab untuk mengemukakan usul berkenaan.

“Kami yang menjadi menteri dan timbalan menteri semua buat pengistiharan harta, saya rasa ini penting untuk meningkatkan keterbukaan akauntabiliti dan integriti pemegang-pemegang jawatan kanan dalam kerajaan.

“Jadi kami rasa setiap anggota parlimen juga perlu berbuat perkara yang sama rakyat lebih percaya dengan wakil rakyat selain mengelak penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) peringkat Pahang yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Pahang Datuk Seri Sabin Samith di Kuantan, hari ini.

Kajian: Tokoh politik kurang dipercayai

Langkah yang bakal diambil itu, katanya sangat penting kerana selalunya hasil kajian yang dibuat berkaitan dengan rasuah dan integriti mendapati tokoh politik paling kurang dipercayai dalam beberapa.

“Biasanya apabila kajian dilakukan di kalangan rakyat, antara kumpulan yang paling dipercayai ialah doktor, guru, manakala golongan yang atau paling kurang dipercayai ialah tokoh-tokoh politik.

Malah apabila bercerita bab politik wang, bab rasuah, ia juga selalu dikaitkan dengan kelompok ini,” katanya.

Saifuddin berkata, tindakan itu juga merupakan satu lagi cara kerajaan Pakatan Harapan mengembalikan keyakinan rakyat bawah pimpinan politik boleh mengamalkan sikap integriti dengan lebih baik.

Beliau yang juga Menteri Luar dan Anggota Parlimen Indera Mahkota berharap usul yang dibawa itu akan mendapat sokongan daripada semua anggota parlimen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS