Anwar ulas Saiful: Biarlah dia...
PRK PD | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas mengenai kenyataan terbaru Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mempertahankan dakwaan kejadian liwat pada 2008.
“Biarlah dia... biarlah dia,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program motivasi santai bersama Datuk Fazley Yaakob di Port Dickson, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan calon bebas itu mempertahankan dakwaan bahawa kejadian tersebut benar-benar berlaku.
Saiful yang juga bekas pembantu peribadi Anwar, pada ceramah kelompok pertamanya di Kampung Teluk Pelanduk malam tadi, mendakwa sudah bersumpah tiga kali bagi mempertahankan dakwaannya itu berbanding Anwar.
Kenyataan dibuat Saiful itu bercanggah dengan janjinya pada hari penamaan calon 29 September lalu untuk tidak mengungkit kontroversi lalu.
Ditanya sama ada tindakan Saiful itu tidak profesional kerana sudah berjanji untuk tidak menggunakan kisah lama sebagai bahan kempen, Anwar hanya mengangguk tanda bersetuju.
Pada Jun 2008, Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara selama lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap Anwar.
Bagaimanapun ketua umum PKR itu dibebaskan lebih awal selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu, yang membolehkan beliau bertanding pilihan raya kecil.
Terdahulu, Anwar hadir ke program motivasi santai bersama Datuk Fazley Yaakob di Port Dickson dan turut meluangkan masa menyertai gimik persembahan seni manisan ‘Sweet Table’ bersama cef selebriti itu.

