Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian ke rahmatullah Tan Sri Hassan Azhari yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, Allahyarham pernah menjadi guru agama baginda serta amat rapat dengan almarhum paduka ayahanda dan nenda baginda.

"Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari yang telah kembali ke rahmatullah pada 6 Oktober 2018.

"Secara peribadi, beta berasa amat sedih kerana sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat beta… semoga roh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari ditempatkan bersama para solihin," titah baginda dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Titah Sultan Selangor lagi, Allahyarham juga sering mengiringi baginda dan kerabat diraja ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji dan umrah, selain kerap menyampaikan ceramah dan mengajar ilmu agama di istana.

Allahyarham semasa hayatnya pernah dianugerahkan darjah kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) pada tahun 1986 daripada Almarhum Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang membawa gelaran ‘Datuk’ di atas jasa dan baktinya.

Hassan, 90, meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur.

Jenazahnya selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di Shah Alam, kira-kira 9.40 pagi tadi.

- Bernama