Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAWI terbuka semak semula SOP jika lompang
Diterbitkan:  Oct 7, 2018 5:48 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersikap terbuka dan bersedia menilai dan menyemak semula standard operasi (SOP) penguatkuasaannya jika terdapat kelompangan, kata Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail.

"JAWI bersikap terbuka menerima sebarang idea, pandangan, cadangan dan teguran dari mana-mana pihak bagi penambah baik dalam pelaksanaan.

“Namun sekiranya terdapat kelompangan, maka SOP ini akan dinilai dan disemak dari semasa ke semasa,” kata Mohd Ajib dalam suatu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan JAWI menumpukan kepada aspek pencegahan maksiat dan tindakan undang-undang hanya dibuat sebagai langkah terakhir.

“Buat masa ini, aspek pencegahan mendapat perhatian khusus JAWI bertujuan memberi maklumat kepada orang Islam supaya tidak melakukan kesalahan dilarang dalam undang-undang.

Cegah kemungkaran berleluasa

“Justeru, dari aspek pencegahan, tindakan undang-undang akan diambil sebagai langkah terakhir dalam tujuan mencegah kemungkaran daripada terus berleluasa," katanya.

Mohd Ajib memaklumkan SOP JAWI berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan, iaitu:

"Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303)."

JAWI juga menyifatkan kenyataan menteri hal ehwal agama mengenai serbuan operasi khalwat telah disalah tafsir oleh media.

"Dalam membicarakan ruang lingkup penguatkuasaan jenayah syariah, kenyataan Datuk Mujahid Yusof Rawa, Menteri di JPM dipercayai telah disalahtafsirkan beberapa akhbar tempatan semalam," katanya lagi.

Semalam The Star melaporkan menteri berkenaan membayangkan operasi khalwat mungkin akan dihentikan, suatu yang disangkal Mujahid dalam penjelasannya hari ini.

Lihat Komen
ADS