Raja Muda Perlis: Manfaatkan Industri 4.0
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat baik di bandar mahupun di desa perlu menerima dengan sikap terbuka serta memanfaatkan kemunculan Industri 4.0.
Baginda bertitah demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Oman, Dr Madiha Ahmed Al Shaibani di pejabat menteri itu di Muscat, Oman hari ini.
Turut mengiringi baginda Duta Besar Malaysia di Oman, Shahril Effendi Abd Ghany.
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah transformasi dalam revolusi perindustrian semestinya membabitkan pelbagai bidang keutamaan termasuk bidang automasi, robotik, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan internet untuk segala-galanya (IoT) di samping mengambil peluang dalam kemajuan bidang komunikasi.
"Justeru, rakyat semua peringkat sama ada sebagai individu, pelajar, tenaga pengajar, anggota masyarakat baik di Malaysia mahupun Oman serta di mana sekalipun seharusnya berubah ke arah ini supaya tidak ketinggalan dalam pendigitalan dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan ini," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin mengambil kesempatan berada di Muscat meninjau sistem pendidikan Islam berteraskan al-Quran.
Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berangkat ke Muscat dalam perjalanan pulang dari Amman, Jordan selepas menziarahi Masjid Al Aqsa di Baitulmuqaddis.
- Bernama

