Pelawaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berforum sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya kecil ini nampaknya tidak kesampaian.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata kehadirannya ke Port Dickson esok adalah untuk berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan untuk berforum dengan Hadi.

Esok, Dr Mahathir akan turun padang membantu kempen calon parti komponen HARAPAN itu.

Sementara itu, pemimpin AMANAH Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kehadiran perdana menteri di Port Dickson akan memberi kelebihan kepada Anwar untuk menang PRK kali ini.

Bagaimanapun, hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan anggota kabinet dan anggota politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya tidak menjalankan aktiviti berkempen dalam waktu bekerja pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya hari ini berkata, aktiviti berkempen dalam waktu bekerja merupakan satu penyalahgunaan masa bekerja.

SPR juga bertegas pengumuman projek kemajuan di Port Dickson atau janji sekiranya menang berkemungkinan menjadi satu kesalahan pilihan raya dan boleh dijadikan alasan untuk membatalkan kesahihan keputusannya dalam apa-apa petisyen pilihan raya yang mungkin difailkan.

Saiful ulang dakwaan liwat 2008

Dalam perkembangan lain, Anwar enggan mengulas mengenai kenyataan terbaru calon bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mempertahankan dakwaan liwat pada 2008.

“Biarlah dia... biarlah dia,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program motivasi santai bersama selebriti Datuk Fazley Yaakob di Port Dickson, hari ini.

Sementara itu, calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar hari ini menyatakan hasratnya menjadikan daerah itu sebagai hab pengeluaran durian Musang King terkemuka di Asia sekiranya beliau mendapat mandat rakyat pada 13 Oktober ini.

Nazari, pesara tentera yang juga pengusaha tanaman durian Musang King di Kulai, Johor itu juga mahu menjadikan raja buah tersebut sebagai ikon baru pelancongan di Port Dickson.

"Di sini banyak tanah tetapi tidak diusahakan dan sekiranya saya diberi mandat... saya akan pastikan kawasan ini diusahakan dengan tanaman durian Musang King," katanya.