Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: BERSIH, SPR harus mudahkan calon
Diterbitkan:  Oct 8, 2018 11:19 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

PRK PD | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan pemantau pilihan raya, BERSIH perlu memainkan peranan untuk memudahkan perjalanan kempen dan bukan sekadar melihat kesalahan pilihan raya.

Dalam posting di Facebook, Anwar berkata ini adalah untuk memastikan calon dan pengundi dapat berhubung antara satu sama lain dengan lancar semasa tempoh berkempen.

"Dalam hal ini mungkin untuk masa depan kita perlu membincangkan jika ada kelonggaran tertentu yang mungkin dipertimbangkan untuk meningkatkan kebolehcapaian calon kepada pengundi dalam tempoh berkempen, tanpa melanggar peraturan atau, jika aspek tertentu peraturan yang ada juga menghalang pergerakan calon dan melarang akses orang ramai kepada pemimpin mereka dan mereka yang bercita-cita memimpin mereka," kata Anwar.

Anwar menambah, kelonggaran tertentu perlu dipertimbangkan agar tidak 'terlalu membataskan' pergerakan seseorang calon.

Presiden PKR itu juga menjelaskan bahawa ucapannya mengenai peranan BERSIH dan SPR dalam pilihan raya kecil yang sedang berlangsung itu harus dilihat dalam konteks yang betul.

"Saya menghormati peranan dan kuasa SPR dan saya kagum serta menghargai kerja-kerja BERSIH dengan pujian harus diberikan untuk membolehkan Malaysia mencapai demokrasi pilihan raya moden melalui reformasi yang dimulakan oleh BERSIH dan pengorbanan pengasas serta pemimpinnya," katanya. 

Dalam ucapannya di DUN Lukut malam tadi, Anwar menjelaskan kepada lebih 1,500 hadirin bahawa beliau menaiki kenderaan rasmi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada 3 Okt lalu kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk berbincang sesama mereka.

Anwar menjelaskan beliau mahu bercakap dengan menteri berkenaan dan menaiki kenderaan bersama merupakan satu-satunya peluang untuk berbuat demikian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS