Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan kubur CEO Cradle Fund digali semula

Mahkamah Rayuan membenarkan proses menggali semula mayat ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan bagi mendapatkan bukti baru mengenai kematiannya.

Ini selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan isteri kedua Allahyarham, Samirah Muzaffar untuk menangguhkan proses penggalian kubur suaminya itu.

Hakim Mohtaruddin Baki, yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata: "Tidak ada merit dalam permohonan Samirah."

Berikutan keputusan itu, pasukan forensik polis berada di tanah perkuburan Kota Damansara untuk menjalankan proses penggalian kubur pagi ini.

Terdahulu, Samirah juga gagal mendapatkan perintah penangguhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguam Samirah, M Puravalen memberitahu mahkamah bahawa keluarga itu mahu ahli patologi bersara, Dr Bhupinder Singh hadir semasa proses penggalian dan bedah siasat kedua.

Samirah membuat permohonan di mahkamah rayuan berhubung perkara itu.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu. Pada masa itu, Allahyarham dikatakan maut kerana kebakaran akibat letupan telefon bimbit.

Siasatan bomba mendapati terdapat kesan petrol dalam bilik di mana Nazrin meninggal dunia, sehingga mendorong pihak polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.

Beberapa ahli keluarganya sebelum ini telah dipanggil oleh polis untuk disoal siasat.

Samirah ditahan selama 10 hari manakala dua anaknya ditahan selama tujuh hari sebelum kesemua mereka dibebaskan.

Lihat Komen
ADS