Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Yayasan Islam Kelantan (YIK) bersetuju mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka yang kini diuruskan Nik Omar, anak pertama bekas menteri besar Kelantan allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia susulan permohonan organisasi keluarga Nik Aziz, Keluarga Besar Nikmatillah, yang mendakwa sebagai pemegang amanah.

YIK dalam surat yang tersebar di media sosial berkata, permohonan Keluarga Besar Nikmatillah dibuat melalui surat kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan dipanjang kepada YIK bertarikh 24 November 2016 lalu.

"YIK menerima permohonan daripada Keluarga Besar Nikmatillah sebagai pemegang amanah yang menguruskan tanah-tanah dan bangunan- bangunan di Maahad Darul Annuar, Pulau Melaka untuk menyerahkan pengurusan sekolah kepada pentadbiran YIK.

"Mesyuarat lembaga YIK yang bersidang pada 28 November 2016 pada dasarnya bersetuju mengambil alih pengurusan sekolah berkenaan menggunakan kokikulum YIK bermula sesi persekolahan 2019," kata surat yang ditandatangani pegawai kanan YIK itu.

Surat bertarikh 4 Oktober itu turut menegaskan supaya pengurusan sekolah tersebut supaya memberi kerjasama.

Sebagai rekod, difahamkan isu pengambil alihan sekolah tersebut berbangkit selepas Nik Omar tidak selari pendirian politiknya dengan ahli keluarga yang lain, malah turut menjadi calon Parti Amanah Negara (AMANAH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu di DUN Chempaka.

Sementara itu, Malaysiakini turut menghubungi pegawai peribadi Nik Omar iaitu Zaidi Abdul Halim yang mengesahkan kesahihan surat berkenaan.

Semakan Malaysiakini melalui laman web Maahad Darul Anuar mendapati Nik Omar yang juga pengetua dinamakan sebagai pewaris ketiga bagi pengurusan sekolah tersebut yang mengambil tanggungjawab itu daripada ayahnya allahyarham Nik Abdul Aziz.

Sekolah agama untuk pelajar tingkatan satu hingga enam itu diasaskan ayah Nik Aziz, Nik Mat Alim.

Lihat Komen
ADS