Pemuda parti k'jaan, pembangkang sokong Mua'mar jadi senator
Pemuda parti kerajaan dan pembangkang menyambut baik cadangan untuk melantik Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin sebagai senator Dewan Negara.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Sany Hamzan berkata sokongan diberikan pihaknya setelah melihat MBM mampu berperanan untuk membawa suara anak muda ke peringkat lebih tinggi.
“Dengan pelantikan ini, tokoh tersebut boleh bawa suara orang muda untuk didengar dan diberi perhatian melalui saluran Dewan Negara,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau diminta mengulas sokongan diberikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap cadangan MBM untuk mengangkat presiden majlis belia itu sebagai senator di Dewan Negara.
Sany berkata meskipun sebelum ini Mua’mar (gambar) dilihat cenderung kepada BN, namun sekiranya individu berkenaan mampu membawa hasrat Pakatan Harapan (HARAPAN) berkaitan anak muda, ia tidak menjadi satu masalah.
“Kalau dia boleh bawa suara anak muda tak ada masalah, kita (AMANAH) terima saranan menteri.
“Itulah HARAPAN, tiba-tiba berbondong-bondong sahabat dari Umno, PAS yang sekarang mahu bersama kita, yang penting boleh bawa hasrat HARAPAN itu sendiri," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Mua'amar bertanding atas tiket BN di Parlimen Parit Buntar namun tewas di tangan Dr Mujahid Yusof Rawa yang ketika itu mewakili PAS.
Beliau sebelum ini dilihat aktif dalam pergerakan Pemuda Umno termasuk berucap mewakili sayap parti itu pada Perhimpunan Agung Umno 2016.
Meskipun tidak bertanding pada PRU lalu, Mua'amar dilapor berkata yakin manifesto BN bersifat realistik, terutama dalam isu berkaitan belia.
Belia perlu diwakili
Sementara itu Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga melahirkan keyakinan sama terhadap Mua’amar untuk membawa suara anak muda ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, beliau pernah menyuarakan hasrat bahawa senator di kalangan anak muda perlu diangkat setara dengan kumpulan berkepentingan yang lain.
“Alasan saya pada waktu itu jika golongan berkepentingan seperti OKU, Orang Asli, persatuan sekerja di berikan tempat dalam Dewan Negara untuk mewakili golongan minoriti rakyat yang berkepentingan.
“Maka golongan Belia yang merupakan kelompok yang besar bilangannya dalam negara juga perlu diwakili kepentingan dan suara mereka di Dewan Negara," katanya.
Bagi Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon turut meluahkan perkara sama.
“Saya sokong cadangan MBM dan menteri jika perkara ini boleh direalisasikan sebagai usaha memperkasakan suara orang muda dalam parlimen,” katanya ringkas.
Malaysiakini sudah menghubungi wakil-wakil parti yang lain dan sedang menunggu maklum balas dari mereka.

