Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bukan flip-flop, masa jadi pembangkang tak dapat maklumat lengkap'

WAWANCARA | Segala keputusan semasa yang dibuat kerajaan negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor ketika ini adalah demi kepentingan rakyat negeri itu meskipun ia kadang-kadang dilihat bercanggah dengan pendirian mereka sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14. 

Exco Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Johor, Sheikh Omar Ali berkata ketika menjadi pembangkang, mereka tidak mendapat maklumat yang lengkap berhubung isu tertentu seperti Projek Forest City.

“Dulu kita lihat sebagai pembangkang. Dulu, akses maklumat sangat terhad. Sekarang dah ada akses, kita kendalikan hal tu.

“Ini bukan soal flip-flopping. Sekarang kita lihat sendiri secara berdepan. Bukan flip-flopping. Kita tangani betul-betul, dapat akses maklumat, jadi ini semua pengaruhi pandangan kita.

“Maksudnya, dulu kritikan berasaskan maklumat yang tak lengkap. Dalam apa-apa isu pun, kita buat kajian, tapi memang terhad lah sebagai pembangkang,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini Khamis lalu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh itu berkata demikian mengulas kenyataan bekas menteri besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin berkaitan isu projek Forest City yang menyifatkan segala tuduhan diberikan oleh HARAPAN sebelum PRU14 sekadar bersifat politik.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian sendiri kini dilihat mempertahankan projek berkenaan walaupun sebelum PRU ke-14 lalu ia menjadi salah satu sasaran kritikan HARAPAN.

Di Johor, HARAPAN menang kerusi lebih banyak berbanding parti lain. Osman kemudian dilantik mengetuai kerajaan negeri pada 12 Mei bagi menggantikan Khaled dari BN yang kalah juga mengejut di DUN Permas.

Osman nama yang kurang dikenali. Mungkin beliau bukan asing kepada penduduk di negeri selatan semenanjung itu, tetapi namanya amat jarang disebut.

Selepas beberapa bulan menerajui kerajaan negeri, nama Osman kini menjadi sebutan. Malangnya atas sebab yang tidak begitu menyenangkangnya.

Gaya memimpin berbeza

Melalui wawancara bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu, pengasas BERSATU Johor itu turut menegur Osman supaya lebih berani dalam menjalanakan tugas.

"Tapi mereka mesti ada keberanian sikit untuk menangani beberapa perkara tertentu itu," kata Muhyiddin.

Sheikh Omar ketika diminta menilai prestasi Osman berkata cara pentadbiran setiap pemimpin itu berbeza seperti yang dilakukan antara Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua ada cara berbeza, itu bukan kelemahan. Saya rasa itu soal gaya kepimpinan berbeza. Saya sanggah orang kata dia tak tegas. Itu bukan satu masalah,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Chan Wei Khjan menggunakan tulisan Cina bersama bahasa Inggeris dalam surat rasminya, Sheikh Omar berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau saya selaku ahli DAP, kita menjunjung titah. Sepatutnya kena bahasa Melayulah, cuma saya rasa, kalau tak ada surat berbahasa Inggeris atau Cina, mungkin pada ketika itu, dia nak respons pada rakyat yang belum menguasai bahasa Melayu,” katanya.

Sheikh Omar melihat perkara itu berlaku kerana kelemahan dalam mengangkat bahasa Malayu serta Umno sendiri yang meletakkan bahasa Melayu "eksklusif" buat diri mereka.

“Saya rasa ia berlaku sebab kelemahan kita nak angkat bahasa Melayu. Hegemoni Umno tu letakkan Islam tu Umno dan Bahasa Melayu tu Umno.

“Umno rakus nak bakulkan semua benda dalam Umno. Jadi itu sebabkan bahasa Melayu macam eksklusif untuk Umno,” katanya.

Graduan pengajian Ilmu Usuluddin Universiti Malaya itu juga berkata, kerajaan lama tidak menggangkat penggunaan bahasa Melayu dengan baik menyebabkan kegagalan rakyat menguasai bahasa Melayu berlaku pada hari ini.

“Komitmen tak ada untuk terapkan benda itu (penggunaan bahasa kebangsaan) secara lebih baik.

“Jadi ia tercermin pada kes hari itu. Saya tak nak salahkan rakyat atau ahli majis tersebut. Mereka semua ini adalah cerminan kegagalan lebih 61 tahun untuk terapkan benda ni,” katanya.


Wawancara ini dijalankan bersama Aedi Asri Abdullah dan Mohd Fakhrull Halim di pejabat Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS