Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: Persaingan Azmin-Rafizi sengit
Diterbitkan:  Oct 8, 2018 5:53 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

PEMILIHAN PKR | Perkembangan pemilihan PKR di Pulau Pinang dan Terengganu semalam membawa kepada keputusan semasa yang menyaksikan pemilihan bagi jawatan timbalan presiden terus sengit.

Keputusan pemilihan PKR bagi Pulau Pinang dan Terengganu yang diadakan masing-masing pada 22 Sept dan 30 Sept, dimuktamadkan semalam selepas semua "undi ragu" diambil kira dalam pengiraan.

"Undi ragu" merujuk kepada undi dari pengundi yang kelayakan mengundinya tidak dapat disahkan pada hari pengundian namun tetap dibenarkan mengundi sementara menunggu pengesahan ibu pejabat PKR.

Berdasarkan pengiraan Malaysiakini daripada keputusan peringkat cabang yang disiarkan di laman web PKR, pemilihan jawatan timbalan presiden setakat ini menyaksikan 19,583 undi untuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 19,580 undi untuk Rafizi Ramli.

Sementara empat pendahulu bagi jawatan naib presiden PKR, mengikut undi yang diterima adalah Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Md Akin.

Terdapat 12 calon bagi jawatan naib presiden dan hanya empat yang akan dipilih.

Pengesahan keputusan bagi Pulau Pinang dan Terengganu juga bererti Afif Bahardin kini mendahului pemilihan bagi jawatan Ketua Pemuda PKR.

Berdasarkan pengiraan Malaysiakini, Afif kini memperoleh 4,720 undi sementara pencabar yang paling hampir, Akmal Nasir meraih 4,667 undi.

Sejak 22 Sept lalu, laman web pemilihan PKR menyiarkan keputusan di peringkat cabang beberapa jam selepas pemilihan di satu-satu kawasan selesai. Pemilihan akan diteruskan sehingga 10 Nov.

Memandangkan PKR tidak menyediakan keputusan semasa, Malaysiakini akan berkongsi rumusan pengiraan setiap minggu dan menyiarkan keputusan semasa di laman ini.

Berikut merupakan jadual penuh pemilihan PKR.

Lihat Komen
ADS