Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobind mahu usul moratorium Akta Hasutan pada kabinet
Diterbitkan:  Oct 8, 2018 9:27 PM
Dikemaskini: 2:53 PM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobond Singh Deo akan mengusulkan moratorium (penggantungan sementara) ke atas Akta Hasutan 1948 dalam mesyuarat kabinet Rabu depan.

Menteri itu berkata peguam negara sudah menyediakan undang-undang yang diperlukan bagi memansuhkan akta berkenaan.

"Pakatan Harapan (HARAPAN) berada di landasan yang betul bagi memansuhkan Akta Hasutan. Peguam Negara sedang berusaha. Saya ada mengikuti perkembangannya. Baru semak sekali lagi tengah hari tadi. Ia sepatutnya akan dibentangkan di sidang parlimen seterusnya.

"Saya akan bangkitkan gesaan untuk moratorium dengan kabinet dalam mesyuarat Rabu ini," katanya melalui Twitter.

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu, HARAPAN berikrar untuk menghapuskan "undang-undang yang menindas" termasuklah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti Kolej Universiti 1971 Akta Penerbitan dan Media Cetak 1984, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dan undang-undang yang mengenakan hukuman gantung sampai mati.

Bagaimanapun, Akta Hasutan terus digunakan oleh polis bagi menyiasat beberapa individu berhubung kenyataan mereka yang berkaitan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir sebelum ini menggesa pihak berkuasa berhenti menggunakan akta itu sementara pemimpin HARAPAN mengkritik polis berhubung perkara itu.

Akta Hasutan sering dikritik sebagai alat yang digunakan bagi menyekat seteru politik. Pihak yang didapati bersalah di bawah akta itu boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda RM5,000.

Terdahulu, peguam termasuk Latheefa Koya, Syahredzan Johan, dan Ramkarpal Singh menggesa kerajaan mengenakan moratorium ke atas penggunaan Akta Hasutan.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata tidak adil menuduh janji kerajaan hanya retorik kerana ketiadaan moratorium itu.

Katanya, kerajaan tetap komited dalam janji manifesto pilihan raya termasuk untuk menghapuskan Akta Hasutan.

Anggota parlimen Sepang itu juga bersetuju bahawa proses pemansuhan akta itu perlahan kerana BN masih mendominasi Dewan Negara.
"Ya, ada merit yang agak kuat hujah pihak yang kata sewajarnya penguatkuasaan ke atas akta itu ditangguhkan sementara menunggu pemansuhan Akta itu. Agak sukar juga untuk menangkis hujah itu. I am just stating a fact.

"Satu-satunya hujah yang mungkin, bagi saya, boleh diguna oleh kerajaan HARAPAN tentang ketiadaan moratorium itu adalah penyiasatan kes jenayah adalah di bawah bidang kuasa polis. Bila ada aduan, polis wajib buka kertas siasatan atau IP. Bila selesai IP, ia akan dirujuk kepada peguam negara sama ada untuk didakwa atau tidak.

"Berdasarkan senario itu, mungkin kerajaan tidak mahu dituduh campurtangan kerja polis selagi akta tersebut belum termansuh. We leave it to the police wisdom in handling this issue," katanya.
 

Lihat Komen
ADS