PRK PD | Menggendong anak sambil menunaikan tanggungjawab mengundi antara imej dirakam petugas media yang membuat liputan pengundian awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di Port Dickson pagi.
Turut menjadi perhatian lensa kamera wakil media ialah isteri-isteri anggota tentera sarat mengandung yang tetap bersemangat keluar mengundi dan diberikan laluan khas oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Berkumpul seawal 7 pagi di Hangar Pusasda, air muka pengundi yang hadir jelas bersemangat walaupun baru lima bulan lepas mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar menjadi calon pertama daripada tujuh yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, hadir meninjau perjalanan proses pembuangan undi awal di kem tentera berkenaan.
Cuaca cerah pada pagi ini mendorong ramai anggota tentera dan pasangan hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Seramai 7,191 pengundi awal dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di tiga pusat mengundi yang dibuka pada 8 pagi tadi.
Mereka merangkumi 6,636 anggota tentera dan pasangan masing-masing yang mengundi di Hangar, Pusasda serta Dewan Serba guna Kem Segenting PD dan 555 anggota polis yang berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Tiga pusat pengundian itu membabitkan 13 saluran dengan 10 dibuka sehingga 5.30 petang sementara bakinya sebanyak tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu Khemah A, B dan C akan ditutup pada 12 tengah hari kerana jumlah pengundi yang kecil.
Selain Mohd Nazari, PRK Parlimen Port Dickson turut ditandingi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Pakatan Harapan serta lima calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong dan pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen.
PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi tersebut pada 12 Sept lepas bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.
- Bernama
