Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di pilihan raya kecil Port Dickson, pada 13 Oktober ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, terserah kepada mahkamah untuk menentukan kesahihan pencalonan Anwar jika terdapat saman pemula yang difailkan untuk mencabar pencalonan bakal presiden PKR itu.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa PAS akan memenangi kerusi Parlimen Port Dickson jika mahkamah membatalkan keputusan Anwar.

"Kami menerima pencalonan Anwar berdasarkan pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Sudah tentu, kami sedar terdapat tindakan undang-undang yang difailkan ... terserah kepada hakim untuk membuat keputusan.

"Saya tidak boleh beritahu apa yang kami (SPR) akan mahu lakukan jika hakim (memutuskan) demikian atau sebaliknya.

"Justeru, Anwar kekal sebagai seorang calon dan akan bertanding pada pilihan raya kecil ini," kata Azhar kepada pemberita selepas melawat pengundian awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson hari ini.

PAS sebelum ini menndakwa bahawa Anwar tidak layak bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson. Menurut parti itu, Yang di-Pertuan Agong hanya memberi Anwar "pengampunan penuh" dan bukan "pengampunan bebas".

Takiyuddin berkata jika PAS mendapat undi kedua tertinggi pada pilihan raya itu, parti berkenaan berpotensi menang jika mahkamah membatalkan pencalonan Anwar.

[Baca berita penuh]