Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS jangan derhaka Agong, pertikai pengampunan - Fahmi

PRK PD | Sebarang usaha PAS untuk terus mempersoalkan kelayakan Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Port Dickson dengan menyebut beliau tidak mendapat pengampunan penuh akan menjadi sembah derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Pengarah Komunikasi Strategik PKR Fahmi Fadzil berkata demikian pada sidang akhbar yang di adakan di bilik gerakan pilihan raya HARAPAN di Port Dickson hari ini.

"Jangan pertikai titah seri baginda Yang di-Pertuan Agong dan hak baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk memberi pengampunan kecuali mereka nak sembah derhaka.

"Maka sesiapa yang mempertikai isu ini sebenarnya mempertikai kedudukan Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh seperti baginda telah titahkan," katanya.

Fahmi menjawab soalan bagaimana HARAPAN akan bertindak balas jika PAS terus mempersoalkan pencalonan Anwar di sepanjang pilihan raya kecil itu.

Pengampunan "bebas" atau "penuh"

Sebelum ini, PAS mendakwa Anwar tidak layak bertanding pilihan raya kecil Port Dickson kerana parti itu berkata Agong cuma mengurniakan Anwar "pembebasan penuh" dan bukan "pengampunan bebas."

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata jika PAS mendapat tempat kedua dalam PRK ini mereka berpotensi menang jika mahkamah mengisytiharkan Anwar hilang kelayakan bertanding.

Seorang pengundi berdaftar di Port Dickson telah memfailkan saman terhadap pencalonan Anwar dan pengurusan kes itu dijadualkan berlangsung di mahkamah hari ini.

Sementara itu, Fahmi yakin Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun cuma memberi peringatan apabila beliau berkata keputusan PRK ini akan terbatal jika terdapat pengumuman janji-janji dan projek pembangunan di Port Dickson.

"Setakat ini pada pengamatan kami, tidak melanggar. Bagi saya itu adalah peringatan SPR bahawa semua calon perlu pastikan mematuhi tata cara disiplin dan peraturan berkaitan perjalanan kempen PRK," katanya

Tak tawar wang tunai

Bagaimanapun, Fahmi berkata mahkamah memutuskan pada kes petisyen pilihan raya terdahulu bahawa kesalahan dilakukan jika terbukti wang dibayar kepada pengundi tertentu.

Menurut Fahmi lagi, mahkamah tidak ada masalah jika projek atau janji diumumkan kepada sekumpulan orang.

Beliau juga menyangkal kempen HARAPAN sama dengan BN ketika gabungan itu berkuasa dahulu.

"Ini salah tanggapan kerana semangat kami bukan 'wang itu raja'. Kami percaya rakyat ialah kunci perubahan.

"Bagi HARAPAN kami tidak mengamalkan politik itu, kami tidak menawarkan tunai," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS