Tiada projek runding terus, pertukaran tanah lepas ini
Tiada lagi projek rundingan terus dan pertukaran tanah membabitkan projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) selepas ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengguna pakai model PPP 2.0 sebagai model baru bagi rundingan projek dengan pihak swasta.
"Model PPP sebenar yang baru, atau apa yang saya sebut sebagai PPP 2.0, akan menggantikan pertukaran tanah dengan melakukan lelongan terbuka untuk tanah itu dijual, sementara pada masa sama melaksanakan tender terbuka untuk projek itu dibina.
"Ini akan membolehkan kerajaan mencapai hasil tertinggi bagi aset yang dilupuskan dengan menerima nilaian terbaik untuk projek itu," katanya pada forum "Malaysia: A New Dawn" di Kuala Lumpur.
Lim berkata PPP 2.0 diperkenalkan untuk menggantikan kaedah yang diguna pakai kerajaan BN sebelum ini dalam merundingkan projek melibatkan pertukaran tanah dan tender rundingan terus.
Beliau mendakwa kaedah kerajaan BN sebelum ini mengundang berlaku "rasuah" dan "keuntungan luar biasa bagi syarikat-syarikat kroni" yang akhirnya membebankan kerajaan dan pembayar cukai.
"Melalui rundingan terus, nilai tanah kerajaan di bawah harga sebenar manakala kos projek awam menjadi terlalu mahal," tambah Lim.
Tiada projek dibatalkan
Menteri itu berkata model PPP 2.0 akan dilaksanakan dalam semua projek pada masa depan, serta projek sedia ada yang masih belum diluluskan.
"Projek PPP tidak akan dibatalkan. Ia (projek sedia ada) akan diteruskan tetapi mengikut format dan mekanisme yang berbeza," katanya.
Forum "Malaysia: A New Dawn" selama sehari ini mengumpulkan individu daripada sektor kewangan dan pelbagai industri untuk berkongsi input mereka mengenai bagaimana untuk meningkatkan ekonomi negara.
Forum itu dianjurkan oleh Kementerian Kewangan, CIMB, Maybank dan RHB bank.

