Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata tidak ada bukti ganja berkesan sebagai ubat untuk merawat penyakit kanser mahupun penyakit-penyakit lain.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perbahasan yang timbul kembali berkaitan potensi tumbuhan itu.

"Kita (kementerian) memang dah tahu ganja tidak ada bukti sebagai ubat untuk kanser atau penyakit lain.

"Dan saya ingin ingatkan, ganja tidak diiktiraf sebagai ubat untuk rawatan apa-apa penyakit pun di negara ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengunjungi tapak pameran di hari terbuka Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur, hari ini.

Perdebatan tentang ganja perubatan kembali timbul setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati kepada Muhammad Lukman Hakim kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja.

Lukman dikatakan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan.

Isu ini memancing perhatian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersetuju hukuman mati Lukman wajar dikaji semula.

Pendapat itu turut disokong beberapa pemimpin lain termasuk Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong, Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dan anggota parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Penggunaan ganja untuk tujuan perubatan telah lama diperdebatkan.

Golongan yang menyokong penggunaan ganja perubatan berhujah, ganja mempunyai sifat antitumor, antimuntah, menaikkan selera makan, tahan sakit, mengurangkan keresahan dan kesukaran tidur.

Pihak penentang pula berkata tiada bukti memadai bahawa ganja mempunyai manfaat perubatan dalam kes kanser, sindrom Tourette, keresahan, epilepsi, meningkatkan selera makan dan beberapa lagi masalah lain yang sering didakwa.

Sementara, diminta mengulas kes kematian di Kedah dan Perak akibat makan laksa kelmarin, Lim memaklumkan premis tersebut sudah diarahkan tutup sementara sementara ujian klinikal dan siasatan dijalankan.

Lihat Komen
ADS