Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua penolong pengarah MARA didakwa rasuah

Seorang ketua penolong pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM3,000 daripada seorang peniaga berhubung penyambungan kontrak penyewaan lot niaga di sebuah pusat beli-belah, empat tahun lepas.

Azmi Umar, 42, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa sebagai Pegawai Mara yang bertugas di Pejabat Mara Daerah Shah Alam telah secara rasuah bersetuju untuk menerima satu suapan daripada seorang peniaga Sarabano Noor Mohamed ,44 manakala untuk pertuduhan kedua, dia dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang RM3,000 daripada Sarabano.

Ia sebagai dorongan untuk melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu untuk Panel Jawatankuasa Mara bagi meluluskan penyambungan kontrak penyewaan Lot No. G12 dan Lot No. G13 di Anggerik Mall, Shah Alam yang telah tamat tempoh pada 30 Jun 2014.

Bagi pertuduhan bersetuju menerima suapan , Azmi yang masih bujang itu dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan memperoleh wang untuk diri sendiri, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Hotel JW Marriot, Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 10.45 pagi dan 12.45 tengah hari, 29 Ogos 2014.

Terdahulu,Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Abdul Rashid Sulaiman menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kuala Lumpur sehingga kes selesai

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam A.S Dahliwal memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik dengan SPRM sepanjang siasatan dijalankan serta dia penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 2 November untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS