Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masuk anak saudara dalam mesin basuh: Penganggur didakwa
Diterbitkan:  Oct 9, 2018 3:36 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Seorang penganggur yang videonya tular kerana memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di Selangor hari ini.

Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai Majistret.

Lelaki itu didakwa memasukkan anak saudara lelakinya yang berusia tiga tahun ke dalam mesin basuh secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan keselamatan mangsa di dalam kedai dobi Laundrybar, No. 11 &11-1, Jalan Orkid 1G/2, Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada 12.30 tengah malam, 2 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairulazhwa Yusrie Mohamad mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin namun Muhammad Irwan yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan terhadap jaminan.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada ahli kelurganya yang hadir ke mahkamah untuk diikat jamin dan menetapkan 9 November bagi sebutan semula kes.

Pada 3 Oktober lepas, pihak polis menahan tertuduh susulan kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang selepas video berdurasi satu minit berkaitan insiden itu tular di Facebook.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi 2 Oktober lepas yang tular di Facebook memaparkan detik cemas kanak-kanak yang terperangkap di dalam mesin basuh itu diselamatkan oleh orang awam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS