5,441 suri rumah layak terima i-Suri di Negeri Sembilan
Seramai 5,441 suri rumah di Negeri Sembilan layak mendapat Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) sejak ia berkuat kuasa pada 15 Ogos lepas.
Penolong Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Sembilan Ramizi Umar berkata suri rumah yang layak disenaraikan berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWPM).
“Mereka yang layak ialah seperti isteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR), KIR wanita ibu tunggal, KIR wanita berstatus balu dan KIR wanita bersatus bujang yang merupakan warganegara Malaysia berumur 18 hingga 60 tahun.
"Bagi mereka yang ingin menyemak sama ada status mereka layak mendapat caruman ini boleh melakukan semakan di sistem e-Kasih,” katanya pada sidang media bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ICU Negeri Sembilan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai Program i-Suri.
Beliau berkata suri rumah juga boleh membuat panggilan terus ke pejabat daerah atau ICU JPM Negeri Sembilan untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai status kelayakan.
“Bagi mereka yang betul-betul layak menerima caruman ini, disarankan untuk mendaftar akaun i-Suri ini di cawangan KWSP berdekatan pada kadar segera, " katanya.
Sementara itu, ADUN Temiang Ng Chin Tsai berkata selain penerima bantuan JKM, penerima bantuan baitulmal atau agensi-agensi lain juga disarankan membuat semakan kelayakan dan membuka akaun i-Suri untuk menggalakkan golongan wanita menabung bagi hari tua.
"Ini merupakan antara insentif kerajaan (Pakatan) Harapan untuk menjaga kebajikan wanita jika menghadapi kesusahan seperti ditimpa musibah sebagai contoh kematian suami, penceraian dan sebagainya.
“Jadi saya harap selepas ini bagi mereka yang masih keliru dan belum berdaftar boleh terus menghubungi pihak kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang i-Suri atau pihak ICU JPM,” katanya.
Pelaksanaan i-Suri merupakan usaha sama yang melibatkan KWPM, KWSP, ICU JPM dan Kementerian Kewangan yang membolehkan golongan yang berkelayakan dan berdaftar menerima sumbangan dalam akaun KWSP sebanyak RM200 bagi caruman untuk tempoh Ogos hingga Disember dan RM480 setahun bagi tahun berikutnya.
- Bernama

