Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan dirinya dengan mendakwa
beliau reda jika kerja-kerja amal jariah seperti membina Maahad Tahfiz telah diklasifikasikan oleh SPRM sebagai memperolehi rasuah.

“Saya hanya lakukan kerja-kerja amal jariah untuk membina Maahad Tahfiz bagi hafiz-hafiz yang sudah hafal 30 juzuk al-Quran dari seluruh negara.

“Ini bagi membolehkan mereka mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan syahadah (sijil) al-Hafiz serta diploma al-Quran untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi ke universiti dalam dan luar negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Zahid yang juga adalah bekas timbalan perdana menteri mengulas arahan SPRM yang mengarahkan beliau hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, esok.

Ini adalah kali ketiga Zahid dipanggil SPRM sejak BN kalah dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Zahid sebelum ini disoal berkaitan penggunaan dana organisasi kebajikan Yayasan Akal Budi yang digunakan bagi menjelaskan hutang kad kreditnya. Beliau juga disiasat berkaitan dakwaan pertemuannya dengan kerabat Arab Saudi yang dikatakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke akaun perdana menteri sebelum ini Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut tentang soal siasat itu, Ahmad Zahid mengulangi permintaannya supaya tidak ada perhimpunan diadakan esok atas alasan tidak mahu pegawai-pegawai SPRM tertekan.

“Keterangan secara telus akan saya berikan.... Siasatan akan dibuat atas tuduhan rasuah dan AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) terhadap dana-dana sumbangan yang terkumpul dan wang peribadi saya sendiri.

“Semua dana dalam akaun diurus oleh firma guaman sebagai akaun amanah. Saya reda dengan amal solleh saya telah diklasifikasikan sebagai memperolehi rasuah dan AMLA,” katanya lagi.

Sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia milik Umno pernah memetik Ahmad Zahid sebagai
menjelaskan, dakwaan penyalahgunaan dana sebuah yayasan yang dikaitkan dengan beliau sebenarnya merupakan yayasan milik keluarganya yang ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti amal.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, dana yayasan itu dibiayai oleh beliau sendiri selain sumbangan beberapa rakan yang ingin melakukan kebajikan seperti pembinaan masjid, maahad tahfiz, rumah anak yatim selain beberapa aktiviti kebajikan lain.

Yayasan yang didaftarkan pada 1997 itu juga memainkan peranan menerima dan mengurus dana bagi membasmi kemiskinan.

Adalah dipercayai siasatan SPRM esok adalah berhubung tuduhan dana yayasan itu digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000.