PRK PD | Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak akan menangguhkan majlis makan malam besar-besaran yang diadakan menjelang pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Mengulas kenyataan BERSIH yang menggesa presiden HARAPAN itu mengadakan majlis makan malam berkenaan selepas hari mengundi 13 Okt depan, Anwar berkata: "Kenapa saya tidak boleh makan malam?"

"Masyarakat (Cina) mahu mengadakan majlis makan malam, calon lain juga ada majlis makan malam," katanya ketika ditemui di program Malaysia: A New Dawn di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, BERSIH berkata majlis makan malam percuma yang dijadual akan diadakan pada 11 Okt depan untuk 3,000 hingga 4,000 warga di Lukut, tidak ada beza dengan majlis makan yang diadakan oleh ahli perniagaan Jho Low pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Badan pemerhati pilihan raya itu menggesa Anwar untuk mencontohi amalan pada PRK Sungai Kandis 4 Ogos lalu yang menyaksikan pesta durian ditangguhkan hingga selesai PRK berkenaan bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang pilihan raya.

Selain itu, BERSIH juga menjelaskan bahawa Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya yang melarang memberikan makanan, minuman atau peruntukan sebagai balasan untuk mengundi calon tertentu.

Anwar akan berdepan enam calon lain - lima calon bebas termasuk bekas pemimpin Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan seorang calon PAS Mohd Nazari Mokhtar.

Calon bebas lain yang mendapat perhatian media adalah Mohd Saiful Bukhari Azlan yang merupakan bekas pembantu khas Anwar, dan merupakan individu utama dalam kes Liwat II.

Anwar juga berdepan saman yang mencabar kelayakannya untuk bertanding PRK berkenaan berhubung pengampunan diraja yang diberikan kepadanya atas pensabitan kes liwat itu.

Pemimpin PKR itu sebelum ini menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa ia direka oleh seteru politiknya.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandang parlimen itu, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusinya bagi mamberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

[Baca berita asal]