PRK PD | Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini berkata dalam nada jenaka bahawa beliau kini perlu berhati-hati dengan ucapannya kerana ada pihak yang "teropong" bagi memantaunya.
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson itu berkata demikian ketika menghadiri majlis kutipan dana bagi kuil di Lukut malam ini.
"Saya tidak boleh umum apa-apa, orang teropong untuk tengok apa saya cakap," katanya disambut ketawa kira-kira 500 hadirin.
Anwar juga menyentuh tentang pengumuman program e-tuisyen percuma untuk sekolah minggu lalu.
"Ada pihak yang mempersoalkan sama ada ia cubaan membeli undi, tapi program ini akan diteruskan meskipun saya kalah. Tapi jangan bagi saya kalah lah," katanya.
Bagaimanapun, Anwar menambah, beliau mengalu-alukan media bebas era Malaysia bari di bawah Pakatan Harapan.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ADUN Lukut Choo Ken Hwa dan ADUN Sri Tanjung M Ravi.
Dalam ucapannya, Loke mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk pembinaan Kuil Xi Tian Niang Niang yang memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk siap sepenuhnya.
"Saya hadiri hari ini sebagai satu-satunya menteri kabinet dari Negeri Sembilan dan saya akan peruntukkan RM10,000 malam ini," kata Loke yang juga merupakan anggota parlimen Seremban.
Loke bagaimanapun menegaskan pengumuman peruntukan itu tidak ada kaitan dengan PRK Port Dickson kerana beliau sudah menerima jemputan sebulan lalu.