9 pekerja dikejar ke hospital selepas terhidu gas
Seramai sembilan orang pekerja sebuah syarikat menjual besi buruk di Lutong dikejarkan ke Hospital Miri setelah mengadu sesak nafas akibat terhidu gas tengah semalam.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya telah menerima panggilan dari Hospital Miri pukul 12.28 mengenai kejadian tersebut setelah mangsa terbabit dilaporkan mengalami kesesakan nafas serta kembang saluran pernafasan bahagian kerongkong.
“Punca kejadian berlaku apabila pemandu jengkaut secara tidak sengaja terlanggar silinder gas klorin ketika berundur,” katanya kepada Bernama semalam.
Law berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat Lopeng telah dihantar ke lokasi kejadian dan menggunakan kaedah semburan air untuk mencairkan gas berkenaan.
“Mangsa masih berada di Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya sambil menambah operasi bomba tamat 3.33 petang semalam.
- Bernama

