Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali sekali lagi ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Zahid berbaju batik berwarna hijau, tiba di ibu pejabat SPRM itu menaiki kenderaan Land Cruiser berwarna putih sekitar jam 9.20 pagi.

Beliau kelihatan menunggu di lobi kira-kira 10 minit sebelum mengikuti pegawai SPRM ke tingkat atas.

Ini kali ketiga beliau dipanggil SPRM.

Suruhanjaya pencegahan rasuah itu dijangka akan terus menyoal siasat Zahid mengenai dakwaan penyelewengan dana daripada yayasan kebajikan yang dikenali sebagai Yayasan Akal Budi.

Semalam, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pihaknya memanggil Zahid untuk diambil keterangan tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

Sumber yang rapat dengan siasatan, memberitahu Malaysiakini semalam bahawa penyiasat SPRM hanya mahu menyoal Zahid hari ini sebagai sebahagian daripada proses siasatan mereka.

“Ada la kita nak tanya dia pasal siasatan kita. Mana ada kita nak tangkap dia.

“Panggil nak ambil statement (kenyataan) je. Kita dapat arahan untuk datang ambil kenyataan,” kata seorang pegawai SPRM bertaraf tinggi yang tidak mahu namanya didedahkan itu.

Derma keluarga diraja Saudi

Apabila diminta mengesahkan sama ada siasatan pagi ini akan berkisar sekitar dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan, atau termasuk sumber dana dalam akaun bank salah seorang ahli keluarga Zahid, sumber itu berkata: “Kita ada banyak nak tanya. Ada siasatan kita. Saya nak dedah pun tak boleh la.”

Pada Julai, Zahid dipanggil SPRM sebanyak dua kali.

Kehadiran Zahid ke SPRM pada 2 Julai lalu dikatakan berkaitan dakwaan derma RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Arab Saudi ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Zahid mendakwa pada 2015 beliau bertemu dengan seorang ketua pegawai pelaburan dan pemegang amanah keluarga yang memberi derma tersebut.

Pada 3 Julai pula, Zahid kembali lagi ke SPRM buat kali kedua bagi direkod keterangannya mengenai dana Yayasan Akal Budi.

Dilaporkan sekitar RM800,000 dana yayasan kebajikan itu didakwa digunakan untuk membayar bil kad kredit pemimpin Umno itu dan isterinya.

Zahid mengakui dana itu digunakan untuk membayar hutang kad kredit tetapi mendakwa ia kesilapan kakitangannya.

 

Lihat Komen
ADS