'Makan malam bersama Anwar bukan program beli undi'
PRK PD | Penganjur majlis makan malam yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan program berkenaan kerana ia tidak dianggap melibatkan usaha membeli undi.
Setiausaha jawatankuasa penganjur Yong Yee Seng berkata majlis makan malam melibatkan 380 meja itu tidak diadakan secara percuma.
Sebaliknya kata Yong kepada Malaysiakini orang ramai yang ingin hadir menyertai makan malam itu perlu membayar RM60 seorang.
Katanya penganjur menjangkakan seramai 3,000 hingga 4,000 orang akan hadir pada majlis tersebut berdasarkan jualan tiket yang hampir habis.
"Kami menyokong Anwar dan berharap beliau boleh membawa Port Dickson ke arah yang lebih baik dan menguntungkan penduduk di sinni.
"Kami mahu memberikan sokongan kepada kempen beliau," katanya.
Terdahulu pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH, mempertikaikan makan malam tersebut kerana ia boleh dianggap sebagai kempen membeli undi.
Makan malam itu dijadual berlangsung di Kuil Kuan Ti di Lukut esok, iaitu dua hari sebelum pengundi di Port Dickson membuang undi dalam PRK kali ini.
Menurut Yong dia bukan anggota PKR selain hampir semua anggota jawatankuasa penganjur adalah pengundi tempatan.
Sementara itu anggota jawatakuasa kuil terbabit Wong Chee Swee, berkata program terbabit tidak diadakan untuk mereka mengedarkan makanan percuma.
Sebaliknya kata Wong orang ramai perlu mengeluarkan wang sendiri bagi menghadiri makan malam tersebut sekali gus dapat bertemu Anwar dan pemimpin lain dalam Pakatan Harapan.
"Masyarakat Cina di Port Dickson sangat menyokong Anwar.
"Selain beliau kami juga mengundang menteri besar serta ADUN Lukut Choo Ken Hwa, tapi kami tak pasti sama ada mereka akan hadir atau tidak," katanya.

