Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak terlintas nak serah mandat yang diterima dari Nik Aziz'
Diterbitkan:  Oct 10, 2018 7:45 PM
Dikemaskini: 11:52 AM

Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak berniat menyerahkan mandat sebagai pemegang amanah Maahad Darul Anuar di Kota Bharu kepada mana-mana pihak.

"Apabila saya diamanahkan wasiat dan mandat itu pada tahun 2008 oleh allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya terima dengan rasa tanggungjawab kerana minat yang mendalam dalam bidang pendidikan.

"Kesimpulannya, saya sebagai penerima wasiat dan pemegang amanah tidak terlintas untuk menyerahkan mandat kepada sesiapa, dan saya akan terus melangkah untuk memastikan impian saya dan Tuan Guru terlaksana," katanya.

Katanyam dengan status wakaf, tanah dan segala aset berkaitan maahad itu tidak lagi menjadi milik mana-mana individu, keluarga atau pertubuhan.

"Saya hanyalah pemegang amanah, bukan pemilik.

“Saya tidak boleh dan tidak pernah berhasrat untuk memiliki atau menguasai harta wakaf berkenaan, sebaliknya hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebelum ini bersetuju mengambil alih pengurusan sekolah agama di Pulau Melaka selepas organisasi keluarga Nik Aziz, Keluarga Besar Nikmatillah membuat permohonan itu.

Keluarga Besar Nikmatillah turut mendakwa sebagai pemegang amanahnya, senada dengan kenyataan anggota lembaga pengarah YIK yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Nik Omar kini mempunyai pendirian politik berbeza selepas meninggalkan PAS dan menyertai parti serpihannya AMANAH.

Sementara itu, Nik Omar berkata, beliau selaku pemegang amanah dan juga ahli lembaga pengarah tidak pernah menghantar permohonan untuk menyerahkan sekolah itu.

"Pihak keluarga tidak sepatutnya membuat apa-apa permohonan mengenai sekolah dan wakaf berkenaan, kerana harta wakaf itu bukan milik keluarga, malah bukan juga milik saya secara peribadi.

"Mana-mana pihak tidak sepatutnya membangkitkan isu menuntut hak sebaliknya sama-sama berusaha mengembangkan mutu pendidikan dan pembelajaran demi kepentingan semua," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS